Forever Young

November 16, 2006

Kuda Kepang,Amboi,Kuda Kepang…

Filed under: Isu Tak Merepek — Adzakael @ 10:59 am


Kalau pembaca perasan satu perkara, saya selalu kutuk kuda kepang. Terutamanya jika berbicara mengenai Black Metal. Lepas tu saya mesti letak juga barongan dalam kutukan tu serta perkataan-perkataan seperti ‘trauma’, ‘rasuk’ dan sebagainya.Memang betul saya pernah dikejar orang kena rasuk dalam permainan kuda kepang dan barongan. Begini kisahnya…. Semasa saya berusia 11 tahun, budak darjah lima yang masih tak kenal apa itu muzik keras, saya dengan sepupu saya si Samsul telah menghadiri after party majlis perkahwinan seorang saudara sesuku di kampung kami. After party orang-orang kampung ketika itu bukanlah dengan minum bergelen-gelen wain dan beer (ginger beer dengan root beer ada agaknya, tapi bukan beer beralkohol) mahupun parti sabun tapi dengan pertunjukan barongan dan kuda kepang.

Malam itu, pada wal pertunjukan ahli kumpulan barongan telah memainkan barongan dan kuda kepang versi bersih. Macam biasalah, menari-nari ikut alunan muzik tradisional live dari kumpulan pancaragam tradisional yang turut mengikuti mereka.

Tapi bila habis permainan bersih itu (warming up sebetulnya) datanglah seorang pawang dengan ayam putih dan kemenyan. Disitu juga dia melakukan pemujaan dengan mengorbankan ayam putih itu tanpa berdarah. Selepas itu, saya telah menyaksikan aksi orang dirasuk dihadapan mata saya.

Semasa mereka ini dirasuk, mereka tak boleh melihat benda-benda merah. Kalau nampak, habis diserang oleh mereka. Ini termasuklah bunga merah,kerusi merah,baju merah,orang merah dan sebagainya. Jika mereka tersentuh satu orang siuman dikala itu, orang siuman itu akan ikut dirasuk bagaikan dijangkiti penyakit.

Masalahnya, saya memakai baju yang ada garisan merah.

Maka saya pun turut dikejar oleh salah seorang yang dirasuk ini. Nasib baik saya sempat naik keatas rumah jika tidak apa entah yang akan berlaku.

Pada penghujung pertunjukan, pawang tadi telah berusaha sedaya upaya mengejutkan mereka yang terlibat dari rasukan tersebut. Nasib baik tak ada siapa yang tercedera dari segi fizikal mahupun mental. Kecuali saya.

Perkara yang paling penting disini, apakah perlu diadakan pemujaan tersebut? Bukankah itu dikira syirik? Menyekutukan Tuhan? Saya pasti kebanyakan yang terlibat dalam perkara sebegini adalah Muslim. Mereka sepatutnya tahu menyekutukan Tuhan itu besar dosanya.

Anehnya, perkara sebegini yang ingin dipertahankan oleh sesetengah pihak. Semuanya diatas nama ‘memelihara tradisi’. Tapi Black Metal juga yang mahu diharamkan.

Saya bukan ingin menyokong aktiviti pemujaan dalam Black Metal (terutamanya Black Metal di Eropah) malah saya menyanggah aktiviti pemujaan yang membawa kepada syirik dalam apa-apa jua aktiviti, baik seni mahupun bidang lain seperti perubatan. Pada saya elemen sebegini mesti dihapuskan. Kita mesti wujudkan seni yang bebas dari elemen pemujaan semangat,jin dan syaitan di kalangan penggiat seni Muslim.

Suka disini saya mengingatkan apa yang telah Wali Songo lakukan ratusan tahun dahulu. Mereka menyedari akan masalah pemujaan dalam wayang kulit Jawa maka mereka telah mencipta wayang kulit versi mereka sendiri yang bertunjangkan agama Islam. Mereka tidak pernah menghapuskan wayang kulit kerana mereka sedar tindakan itu akan dikira terlampau ekstrim. Paling penting, mereka tidak pernah mencipta fitnah dalam usaha membendung perlakuan syirik.

Maka seharusnya wartawan-wartawan Mastika, Harian Metro dan media-media lain yang menghentam golongan Underground (UG) dan komuniti Metal, berasa malu diatas tindakan mereka mencipta fitnah-fitnah dengan mereka-reka cerita dan bukti yang tak pernah wujud dalam usaha menghapuskan muzik yang mereka tidak gemari. Ini kerana mereka telah melakukannya diatas nama agama Islam dan adat ketimuran. Kononnya mereka rasa bertanggunjgawab dalam mendedahkan perkara-perkara hedonisme kepada masyarakat umum. Kononnya mereka ini ingin membetulkan akidah anak-anak muda Melayu Islam dari pengaruh budaya Barat. Tapi saya tak sangka mereka sanggup menempah lubang di neraka semata-mata ingin ‘membetulkan’ akidah remaja Melayu.

Apa yang salah tetap salah. Apa yang benar tetap benar. Saya menyeru kepada rakan-rakan semua serta diri saya sendiri agar terus menyebarkan perkara-perkara yang benar, biar pun ia pahit bagaikan hempedu.Tidak perlu menyebarkan SMS fitnah mahupun mencipta cerita bagi menyokong perjuangan kita semua.
Saya juga ingin menyeru agar kita semua tidak memasukkan elemen-elemen pemujaan yang tak perlu dan ditegah dalam agama masing-masing dalam seni kita semua. Berlaku setialah kita terhadap agama masing-masing, sesungguhnya itu yang lebih baik dari mempertikaikan budaya Barat dan budaya Timur, bagaikan segala kejahatan datang dari Barat dan segala kebaikan datang dari Timur tanpa menyedari dari Timur pun ada perkara negatifnya dan ada juga yang positif dari Barat.
Semoga kita semua sukses dalam perjuangan masing-masing.

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

Powered by WordPress